Tindakan tegas terhadap broker hartanah haram | Malaysian Institute of Estate Agents

Tindakan tegas terhadap broker hartanah haram

2018-10-21

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana broker hartanah haram yang kegiatan mereka semakin berleluasa di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya difahamkan kini terdapat semakin ramai broker hartanah yang tidak berdaftar terutamanya dengan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) yang boleh menyebabkan berlakunya pelbagai jenis penipuan terhadap pembeli dan penjual.

“Saya agak kesal kerana sehingga kini tidak ada satu tangkapan pernah dibuat dan ni menjadi satu isu penguatkuasaan dalam sektor perumahan.

“Maka kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak akan segera menguatkuasakan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap broker-broker haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Tahunan MIEA dan Penyampaian Anugerah Hartanah Kebangsaan 2018 anjuran MIEA di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Yang turut hadir ialah Presiden MIEA, Eric Lim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur majlis berkenaan, Lim Boon Ping.

Sebelum itu, Zuraida memberitahu 60 peratus atau sebanyak RM90 bilion daripada RM139 bilion nilai transaksi di negara ini pada tahun lalu melibatkan ejen-ejen hartanah.

“Ini jelas menunjukkan industri hartanah mampu memberikan sumbangan yang besar bagi menjana pendapatan negara.

“Kini kita mempunyai seramai 20,000 juru runding hartanah, 1,375 buah firma hartanah dengan seramai 1,964 ejen hartanah yang berdaftar,” katanya. - UTUSAN ONLINE

ADVERTISEMENT