Terus bincang dengan bank jika perlu lanjutan moratorium - PM | Malaysian Institute of Estate Agents

Terus bincang dengan bank jika perlu lanjutan moratorium - PM

2020-10-13

Kuala Lumpur: Individu dan perniagaan yang memerlukan lanjutan moratorium bersasar boleh meneruskan perbincangan dengan institusi kewangan masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak yang memerlukan lanjutan bantuan moratorium tidak terlalu ramai dan mereka boleh berbincang dengan pihak bank.

"Bank boleh pertimbangkan untuk kes sebegini. Kira-kira 60 peratus peminjam dibantu dengan pengurangan ansuran bulanan berdasarkan keperluan dan keadaan kewangan pemohon.

"Mereka akan diberi bantuan sehingga 2021," katanya dalam sidang media maya bersama wakil media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, semua pihak masih boleh mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan untuk dapatkan apa saja bentuk bantuan.

"Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) adalah satu bentuk bantuan yang kerajaan boleh berikan untuk kurangkan tekanan ekonomi kepada mereka yang terjejas," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) mengeluarkan kenyataan bahawa institusi perbankan bersedia untuk membantu peminjam dan pelanggan yang berada di beberapa kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana peningkatan kes Covid-19.

Kedua-dia persatuan berkata, peminjam dan pelanggan di kawasan PKPB atau PKPD yang menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman atau pembiayaan harus segera menghubungi bank mereka untuk meminta bantuan pembayaran balik.

"Bank-bank bersedia untuk memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan peminjam dan pelanggan.

"Mereka (pelanggan dan peminjam) dapat menghubungi bank mereka melalui e-mel atau telefon jika mereka tidak dapat melakukan pertemuan secara bersemuka kerana sekatan pergerakan," katanya.

ADVERTISEMENT