PKS mahu lanjut moratorium perlu hubungi bank segera | Malaysian Institute of Estate Agents

PKS mahu lanjut moratorium perlu hubungi bank segera

2020-09-02

INDIVIDU serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan lanjutan moratorium perlu segera menghubungi bank masing-masing kerana ia memerlukan masa untuk memproses setiap permohonan.

Secara umumnya, bank memerlukan satu hingga lima hari untuk pelanggan individu dan tiga hari hingga dua minggu untuk permohonan PKS.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat 21 Ogos lalu, bank sudah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu, 94,685 (PKS) dan 12,390 syarikat lain-lain (termasuk perniagaan korporat dan komersial) bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.

"Tarikh berakhirnya moratorium secara automatik berbaki 29 hari saja lagi.

"Dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos 2020, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu sudah diterima dan sebanyak 109,172 daripadanya sudah mendapat kelulusan.

"Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya sudah mendapat kelulusan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, bantuan pembayaran balik pembiayaan merangkumi lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga bulan bagi pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan, pengurangan ansuran pembiayaan yang sepadan dengan pengurangan gaji pelanggan individu yang terjejas akibat Covid-19 selama sekurang-kurangnya enam bulan, bergantung kepada jenis pembiayaan dan pembayaran faedah saja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, pemanjangan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan bayaran balik bulanan, atau pelepasan lain yang sesuai.

Mohd Shahar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

"Hasil pertemuan saya dengan wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bank sudah bersedia memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.

"Bagaimanapun, respons yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

"Saya bimbang sekiranya orang ramai dan PKS menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan.

"Saya menggesa orang ramai untuk segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan.

"Ini penting terutama bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pascamoratorium," katanya.

ADVERTISEMENT