Pemaju perlu pastikan pihak berkaitan miliki REN diperakui | Malaysian Institute of Estate Agents

Pemaju perlu pastikan pihak berkaitan miliki REN diperakui

2019-07-28

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Pemegang kepentingan termasuk pemaju perlu memastikan mereka yang terlibat dalam pemasaran projek hartanah, diperakui dan memiliki tag pengenalan Perunding Hartanah (REN), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Zuraida, beliau dimaklumkan bahawa amalan hartanah memerlukan REN diperakui dan diberikan tag yang dilampirkan dengan syarikat hartanah.

“Saya dapati banyak ejen yang memasarkan projek untuk pemaju, sebagai contoh di kompleks beli-belah dan di tempat lain, tidak mempunyai tag … ini dianggap sebagai pelanggaran undang-undang.

“Ini kerana hanya mereka yang mempunyai tag yang disahkan undang-undang dan mereka mempunyai keupayaan undang-undang untuk mewakili pemaju,” kata Zuraida dalam ucapan pada Malam Gala dan Anugerah Hartanah Nasional ke-11 di sini, malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah kementerian berkenaan, Dr Alauddin Sidal.

Zuraida berkata, ​orang ramai perlu mendapat khidmat daripada ejen-ejen yang diperakui dengan meminta tag untuk membantu mereka menjual atau memperoleh harta supaya tidak ditipu oleh broker haram.

Pada majlis itu, Presiden Institut Ejen Harta Presiden Malaysia, N Thinahara Kumar menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Richiprop manakala Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik diangerahkan kepada S Sarkunan dari Knight Frank Malaysia Sdn Bhd. – BERNAMA

ADVERTISEMENT