Pasaran hartanah lembab disebabkan isu pembiayaan

2019-03-15

KUALA LUMPUR 15 Mac - Pasaran hartanah yang lembap sebahagian besarnya disebabkan masalah pembiayaan apabila permintaan terus kukuh, menurut Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Presidennya, Eric Lim Chin Heng, berkata kerajaan terutamanya Bank Negara Malaysia perlu mengkaji semula dan meliberalisasikan garis panduan pinjaman.

“Kami sedar mengenai kebimbangan kerajaan terhadap hutang isi rumah secara keseluruhan yang berada pada sekitar 83.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga September 2018. Ia berada pada paras boleh diurus,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Hartanah Tahunan Malaysia (MAREC) 2019 di sini hari ini.

Mengenai kempen pembeli rumah kali pertama oleh kerajaan untuk menangani hartanah yang tidak terjual, Lim menggesa insentif yang sama turut diperluaskan ke pasaran sekunder.

Di bawah kempen itu, pelbagai insentif dan pengecualian duti setem diberikan kepada golongan sasaran kumpulan pendapatan 40 peratus terendah dan 40 peratus pertengahan terutamanya bagi hartanah utama dan jualan projek baharu.

Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, Lim berkata, sebanyak 80 peratus daripada urus niaga hartanah kediaman merupakan dalam pasaran sekunder dan bakinya dalam pasaran utama.

Mengenai prospek pasaran hartanah, Lim berkata, ia akan meningkat pada separuh kedua tahun ini selepas lembap dengan sentimen pasaran yang berhati-hati susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan hala tuju dasar kerajaan baharu.

“Ia merupakan pasaran yang mencabar dengan pelarasan domestik yang sedang berjalan dan cabaran luaran yang meningkat, tetapi apabila ketidaktentuan selesai keyakinan dapat dikembalikan. Rakyat Malaysia mempunyai wang dan mahu melabur dalam pasaran hartanah,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, dengan kewujudan inovasi teknologi semua pengamal pasaran hartanah termasuk ejen hartanah boleh terjejas jika mereka tidak menerima pakai teknologi baharu.

“Media digital telah mengatasi iklan di akhbar dari segi keberkesanannya dalam menjana pertanyaan dengan pemasaran Facebook yang dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menjana pelanggan terutamanya dalam menjual hartanah utama.

“Ejen hartanah kini membelanjakan kira-kira 10 peratus daripada jumlah yang mereka bayar bagi iklan di akhbar sebelum ini,” katanya. - BERNAMA

 

Ads