MIEA bimbang ‘gambaran salah’ istilah ‘ejen hartanah’ | Malaysian Institute of Estate Agents

MIEA bimbang ‘gambaran salah’ istilah ‘ejen hartanah’

2020-09-23

KUALA LUMPUR: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menyuarakan kebimbangan berhubung ‘gambaran salah’ dalam laporan media mengenai ejen hartanah yang menipu pelanggan.

MIEA dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan undang-undang, istilah ‘ejen hartanah’ merujuk kepada mereka yang memiliki kelayakan tertentu.

Untuk bergelar ejen hartanah, seseorang itu mesti lulus bahagian satu dan dua peperiksaan hartanah dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, menjalani pasca latihan praktikal selama dua tahun dan menduduki ujian kecekapan profesional untuk didaftarkan di bawah Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Presiden MIEA, Lim Boon Ping (gambar) merujuk kepada tiga artikel yang diterbitkan media tempatan pada sebulan yang lepas.

Katanya, “Walaupun kita bimbang jumlah scam (penipuan) yang semakin meningkat, kami sebagai institut yang mewakili 25,000 pengamal ejen hartanah di seluruh Malaysia bimbang mengenai gambaran yang salah dalam laporan media baru-baru ini bahawa ejen hartanah menipu pelanggan melibatkan tiga kes (dilaporkan). Ini merupakan kenyataan yang tidak tepat.”

Beliau berkata, untuk menyatakan secara unilateral bahawa ejen hartanah melakukan sesuatu penipuan adalah isu serius dan mesti disertakan bukti sama ada individu berkenaan benar-benar ‘ejen berdaftar’ atau ‘broker haram.’

“Broker haram wujud untuk meraih keuntungan segera dan mereka tidak pernah menjalani latihan atau diiktiraf atau diberi kuasa membuat mana-mana urus niaga hartanah.

“Sebarang gambaran yang salah bagi istilah itu (ejen hartanah) mungkin mencetuskan kekeliruan dan curiga, sekali gus memberi reputasi buruk kepada imej profesion hartanah,” katanya.

Orang ramai dinasihat untuk menggunakan perkhidmatan ejen hartanah berdaftar (REA), ejen hartanah percubaan (PEA) atau perunding hartanah (REN).

MIEA turut menyarankan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan pihaknya bagi mengesahkan sama ada individu yang berurusan dengan mereka itu merupakan ejen sah.

“Jumlah aduan yang diterima MIEA telah meningkat sebanyak 30 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP), namun, ada yang sanggup menggunakan wang simpanan atau menjejaskan kedudukan kewangan mereka dengan meletakkan kepercayaan kepada individu yang tidak diberi kuasa atau diperakui undang-undang untuk menjalankan urus niaga hartanah,” kata Lim.

MIEA telah mengenal pasti 13 cara bagaimana orang ramai boleh ditipu di www.myrealagents.com.

Lim berkata walaupun mungkin terdapat sebilangan kecil ejen dan perunding yang terlibat dalam aktiviti penipuan, namun majoritinya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Sebarang salah laku oleh ejen hartanah atau perunding yang diperakui boleh dikemukakan kepada syarikat hartanah yang mengambil mereka bekerja atau meminta LPPEH menyelesaikannya,” katanya.

Untuk melindungi kepentingan orang ramai, MIEA melancarkan kempen kesedaran awam – #MYREALAGENTS pada awal tahun ini sebagai sumber percuma untuk berkongsi nasihat dan maklumat mengenai cara terbaik menggunakan perkhidmatan REA atau REN, jenis penipuan hartanah dan bahaya menggunakan broker haram.

MIEA turut memetik Akta 242 atau Akta Penilai, Pentaksir, dan Ejen Harta Tanah 1981 yang menyatakan bahawa broker haram yang melakukan urus niaga hartanah, jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Selain itu, turut akan dikenakan adalah denda RM1,000 untuk setiap hari berlakunya kesalahan tersebut. Peruntukan ini juga turut dikenakan terhadap mana-mana orang yang membantu dan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

MIEA juga menasihati orang ramai supaya berwaspada sekiranya ditawarkan perjanjian hartanah yang menarik, namun meragukan.
Mereka juga boleh menyemak ejen hartanah masing-masing dengan melayari laman web LPPEH di www.lppeh.gov.my atau menghubungi 03-2288 8815 atau e-mel [email protected].- Bernama

ADVERTISEMENT