KPKT teliti cadangan pembinaan projek di tiga daerah di Kedah | Malaysian Institute of Estate Agents

KPKT teliti cadangan pembinaan projek di tiga daerah di Kedah

2020-09-05

PENDANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti permohonan pembinaan beberapa projek di tiga daerah di negeri ini membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM28 juta.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai semua projek yang dipohon oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada esok.

"Kita akan berbincang mengenai cadangan itu adakah ia selaras dengan kehendak kerajaan negeri agar ia tidak membazir dan boleh mencapai objektif yang lebih besar terutamanya dalam meningkatkan ekonomi, aktiviti perniagaan dan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Pendang Waterfront di sini hari ini.

Zuraida berkata, projek-projek berkenaan antaranya pembinaan Komplek Sukan Seni Bela Diri di Jeneri, Sik, pembinaan Program Perumahan Rakyat di Sungai Setar, Sik dan projek naik taraf Pusat Rekreasi Bersepadu di Tasik Pendang.

"Pembinaan Kompleks Sukan Seni Bela Diri bernilai RM4.7 juta itu untuk digunakan oleh pengamal sukan seni bela diri seperti muay thai, silat dan lain-lain lagi dalam menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, bagi permohonan pembinaan Program Perumahan Rakyat di Sungai Setar, Sik, pihaknya akan meneliti konsep perumahan yang sesuai dibina di kawasan itu.

Pendang Waterfront

"Kita ada menerima permohonan untuk pembinaan Program Perumahan Rakyat di sebuah kawasan ladang lembu yang tidak digunakan sepenuhnya.

"Kementerian akan meneliti konsep perumahan yang sesuai dibina di kawasan itu, tanah di situ bukan jenis berbukit, jadi ia sesuai untuk perumahan," katanya.

Zuraida berkata, pihaknya juga akan meneliti permohonan pembinaan struktur kekal bernilai RM1 juta bagi memberi kemudahan hampir 100 peniaga di Taman Bersatu, Sungai Petani.

"Ia bagi menggantikan pasar yang beroperasi tanpa kelulusan sejak 30 tahun lalu di suatu kawasan lapang di situ.

"Dalam keadaan Covid-19 sekarang ini sudah sampai masanya untuk kita berubah dan membudayakan komuniti di situ," katanya.

Katanya, pihaknya turut menerima cadangan untuk menaik taraf beberapa infrastruktur bagi mewujudkan Pusat Rekreasi Bersepadu di Tasik Pendang di sini.

"Ia termasuk membangunkan kawasan khas untuk sukan lasak, tapak ekspo dan juga tambahan kolam renang bagi kegunaan kanak-kanak di Pendang Waterfront di sini," katanya.

Ads