KPKT cadang bina lebih 600 unit rumah PPR di Kedah | Malaysian Institute of Estate Agents

KPKT cadang bina lebih 600 unit rumah PPR di Kedah

2020-09-06

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Kedah membabitkan kos RM128 juta.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata kedua-dua projek itu akan dibangunkan di Kubang Pasu iaitu PPR Jitra dan Kodiang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan akan dibentangkan, pada Januari 2021.

"Untuk PPR Jitra, kita bercadang membina 159 unit rumah pangsa, manakala kira-kira 500 unit rumah teres dibangunkan untuk PPR Kodiang dengan kos keseluruhan RM128 juta.

"Ini penting berikutan pertambahan penduduk dan menjadi keperluan bagi golongan B40," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Zuraida berkata, KPKT bercadang membina pembangunan fasiliti waste to energy (WTE) membabitkan beberapa kemudahan seperti loji dan lain-lain fasiliti yang boleh menjana tenaga dari sisa di Jabi, Pokok Sena dan Semeling, Bedong.

Tapak pelupusan sampah di dua kawasan berkenaan perlu dinaiktaraf kepada WTE segera berikutan keadaannya agak kritikal.

Katanya, pembinaan itu mengambil masa kurang dua tahun dan akan dibangunkan oleh syarikat yang bakal membuat pelaburan kelak sekali gus mampu menyelesaikan masalah pelupusan sampah di negeri ini.

"Kita bercadang membina Waste Park ialah pembangunan fasiliti setempat untuk tujuan kitar semula secara holistik di Kulim .

"Dengan adanya Waste Park, kita harapkan kilang plastik, besi dan lain-lain dapat ditempatkan di situ serta tiada kilang haram di Kedah," katanya.

ADVERTISEMENT