Kenal pasti ejen hartanah | Malaysian Institute of Estate Agents

Kenal pasti ejen hartanah

2019-07-27

“JANGAN tertipu dengan ejen hartanah yang tak diiktiraf,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, semua ejen mesti memiliki tag Perunding Hartanah (REN) bagi melayakkan mereka melakukan pemasaran untuk mana-mana projek hartanah.

Sehubungan itu beliau mahu Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Lembaga Penilai, Ejen Pentaksir, Pengurus Hartanah dan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) berbincang untuk mengatasi masalah itu.

“Ejen tanpa tag REN adalah perbuatan melanggar undang-undang,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Hartanah Kebangsaan ke-11 anjuran MIEA di Petaling Jaya hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Dr Alauddin Sidal.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk membeli hartanah.

Beliau berkata, dengan harga hartanah berada pada tahap paling rendah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah masa terbaik untuk membeli aset berkenaan.

Katanya, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 yang turut memberikan diskaun dan rebat selain kadar keuntungan pinjaman rendah sepatutnya menjadi tarikan untuk pembelian rumah pada masa ini.

“Banyak bank sudah menurunkan kadar keuntungan dan ia akan meyakinkan lagi pasaran hartanah negara,” katanya.

Mei lalu Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan penanda aras pinjaman, Kadar Dasar Semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Zuraida berkata, HOC 2019 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019 menawarkan minimum diskaun 10 peratus harga rumah selain pengecualian duti setem Surat Perjanjian Jual Beli (S&P) untuk hartanah bernilai sehingga RM1 juta.

Katanya, selain itu pengecualian sama untuk perjanjian pinjaman berharga sehingga RM2.5 juta.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 31 penerima anugerah berkenaan dari Sabah, Sarawak, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

ADVERTISEMENT