Daftar Pengurus Harta dilancarkan | Malaysian Institute of Estate Agents

Daftar Pengurus Harta dilancarkan

2018-01-12

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Daftar Pengurus Harta di bawah Pindaan Akta 242 dilancarkan hari ini oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Menerusi pindaan itu, Akta 242 kini dikenali sebagai Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 yang diluluskan pada 17 Oktober lalu dan digazetkan pada 2 Januari 2018. 

Pelancaran itu turut disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai tanda usaha sama buat kali pertama melibatkan dua kementerian dalam mengawal selia amalan pengurusan harta bagi harta strata di Malaysia. 

Menurut Noh Omar, pengurusan strata yang dikawal selia dengan sempurna akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan keyakinan kepada pelabur. 

“Langkah itu bagi memastikan pengurus harta yang diamanahkan dengan pengurusan harta bernilai jutaan ringgit dikawal oleh badan profesional sekali gus melindungi orang ramai daripada individu tidak bertanggungjawab,” katanya dalam majlis pelancaran di sini hari ini. 

Berdasarkan rekod, sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 19,000 skim strata di seluruh negara dengan 7.5 juta penduduk menghuni di kediaman tersebut yang mewakili 30 peratus daripada jumlah penduduk di bandar. 

Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) pula merekodkan 10 kes penyelewengan oleh pengurus harta tanah berdaftar walaupun kes-kes melibatkan pengamal haram mencatat sekitar 116 kes - UTUSAN ONLINE

 

ADVERTISEMENT