Belanjawan 2020 perkenal skim, inisiatif baharu perumahan | Malaysian Institute of Estate Agents

Belanjawan 2020 perkenal skim, inisiatif baharu perumahan

2019-09-23
KAJANG: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif dan skim baharu bagi meningkatkan kadar pemilikan rumah di negara ini terutama dalam kalangan isi rumah B40 dan M40.
 
Usaha berkenaan pada masa sama sebagai langkah untuk menangani situasi hartanah siap tidak terjual.
 
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah, berkata kementeriannya kini di peringkat akhir merangka Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.
 
“Kami sedang mengumpulkan cadangan dan maklum balas daripada semua pihak berkaitan sebelum memutuskan inisiatif terbaik untul rakyat. Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu (inisiatif) tetapi ia adalah usaha berterusan kerajaan dalam menangani masalah pemilikan rumah di negara ini.
 
“Sebagai contoh, kerajaan mungkin akan memperkenalkan skim yang membantu mereka (golongan sasar) daripada kurang berkelayakan untuk meminjam kepada lebih berkelayakan.
 
“Apa yang penting, hasrat kerajaan untuk memastikan setiap keluarga di negara ini sekurang-kurangnya mampu memiliki satu rumah,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Pasaran Hartanah H1 2019 dan Pelancaran Sistem Carian Hartanah Tidak Terjual Malaysia (UPESM) 2.0, di Kajang, semalam.
 
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Ahmad Zailan Azizuddin dan Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Sr Aina Edayu Ahmad.
 
Terdahulu dalam ucapannya Amiruddin berkata, prestasi pasaran hartanah menunjukkan peningkatan pada separuh pertama 2019 (H1 2019), sejajar dengan momentum pertumbuhan ekonomi pada tempoh sama.
 
Katanya, jumlah transaksi merekodkan 160,172 bernilai RM68.3 bilion pada H1 2019, meningkat sebanyak 6.9 peratus berbanding 149,862 transaksi bernilai RM67.74 bilion pada H1 2018.
 
Beliau berkata, semua subsektor hartanah iaitu kediaman, komersial, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatatkan peningkatan dalam aktiviti transaksi pada H1 2019.
 
Katanya, data juga menunjukkan penurunan dalam bilangan pelancaran baharu hartanah kediaman pada tempoh dikaji yang merekodkan sebanyak 23,591 unit pada H1 2019, iaitu penurunan 49.4 peratus berbanding 46,617 unit pada H1 2018.
 
“Prestasi jualan juga adalah sederhana sebanyak 30.9 peratus, berbanding 20.1 peratus pada H1 2018 dan 29.2 peratus pada separuh kedua 2018," katanya.

ADVERTISEMENT