Batal 24 PR1MA: KPKT akan bayar pampasan RM42 juta - Zuraida | Malaysian Institute of Estate Agents

Batal 24 PR1MA: KPKT akan bayar pampasan RM42 juta - Zuraida

2020-09-11

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membayar pampasan berjumlah RM42 juta kepada kontraktor yang telah menjalankan kerja-kerja awal bagi 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dibatalkan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata dalam pada itu, kerajaan telah mengenal pasti 27 tapak untuk dibangunkan rumah mampu milik PR1MA di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kita akan mulakan (projek ini)... kita baru dapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebanyak lapan tapak dan itu kita akan teruskan.

"(Kemudian) 27 tapak yang kita telah kumpulkan tanah itu kita dalam proses untuk meninjau kedudukan dan daya maju tanah dan kita akan mulakan projek itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Komuniti Seni Prihatin Finas di sini, pada Khamis.

Menurut Zuraida, projek itu diselaraskan di bawah sistem Jabatan Perumahan Nasional, iaitu termasuk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sebelum ini Zuraida dilaporkan berkata sebanyak 24 daripada 94 projek PR1MA dibatalkan.

Baki sebanyak 70 lagi masih diteruskan, katanya.

Ads