Pasaran hartanah dijangka meningkat tahun hadapan-MIEA | Malaysian Institute of Estate Agents

Pasaran hartanah dijangka meningkat tahun hadapan-MIEA

2018-08-09

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia dijangka kembali mencatat pertumbuhan secara perlahan susulan peningkatan keyakinan pembeli mulai tahun hadapan sehingga 2020, demikian mengikut Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Presidennya, Eric Lim Chin Heng, berkata pasaran akan kembali pulih apabila asas ekonomi negara bertambah baik di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Pada masa sama, jangkaan kerajaan akan melaksanakan dasar baharu bagi meningkatkan pasaran hartanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Chin Heng berkata, pasaran hartanah kemungkinan telah mencecah paras terendahnya tahun lalu dengan jumlah urus niaga berada di tahap terendah sejak 2012 iaitu sebanyak 311,824.

“Pelabur hartanah yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pasaran hartanah kini mula bercadang untuk memasuki semula pasaran,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dua perancangan utama termasuk rancangan memperkenal dan menguruskan bekalan rumah mampu milik serta pembentangan belanjawan akan datang akan menjadi ujian bagi kerajaan baharu untuk menangani masalah industri hartanah,” katanya.

Bagi membantu merangsangkan lagi keyakinan, MIEA akan menumpukan kepada kandungan Program Pembangunan Berterusan (CDP) mereka untuk memperkasakan 18,000 ahli aktif industri hartanah dengan pengetahuan baharu dan menambah baik kemahiran dengan memberi penekanan kepada profesionalisme dan integriti.

CDP diakreditasikan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah Malaysia.

CDP yang dibangunkan oleh MIEA akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan mengasah keupayaan perunding hartanah baharu untuk memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada pelanggan.

Chin Heng berkata, pihaknya mahu menyediakan peluang kepada perunding hartanah mereka untuk terus bertahan dalam pasaran yang mencabar dan bersiap sedia meraih manfaat apabila pasaran dijangka meningkat semula pada 2019.

ADVERTISEMENT