Kenaikan OPR tak jejas pasaran hartanah | Malaysian Institute of Estate Agents

Kenaikan OPR tak jejas pasaran hartanah

2018-02-06

PETALING JAYA: Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tidak akan menjejaskan pasaran hartanah secara keseluruhan, demikian menurut Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Presidennya, Eric Lim, berkata kesan kenaikan OPR itu tidak akan menjejaskan individu yang membeli rumah untuk didiami.

"Ini berbeza dengan mereka yang membeli rumah untuk pelaburan atau spekulasi," katanya pada taklimat media mengenai unjuran pasaran hartanah tempatan tahun 2018 di ibu pejabat MIEA, di sini, hari ini.

Pada 25 Januari lalu, BNM menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman bank tempatan, sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus, kenaikan pertama dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada 10 Julai 2014.

Lim berkata, secara keseluruhan MIEA mengunjurkan pasaran hartanah di Malaysia pada tahun ini akan terus berkembang, dipacu keadaan ekonomi negara yang lebih kukuh.

Katanya, berkata berdasarkan kaji selidik dibuat pihaknya, 78 peratus daripada 370 penggiat hartanah di seluruh negara yang mengambil bahagian bersetuju keadaan ekonomi negara yang kukuh pada tahun ini akan membantu meningkatkan pasaran hartanah Malaysia.

Selain itu, 84 peratus responden turut percaya yang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) akan menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi negara.

"Majoriti responden juga positif dan mengekalkan unjuran berdaya maju terhadap pasaran hartanah mampu milik, pertengahan, bertingkat, kediaman bertanah dan sektor hospitaliti.

"Bagaimanapun, lebih 50 peratus responden mengunjurkan pasaran hartanah bagi peruncitan, apartmen servis mewah serta kediaman SOHO akan terus lemah pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata, pelaksanaan projek mega seperti pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura, projek MRT2, MRT3 dan LRT3 juga membantu meningkatkan nilai pasaran hartanah di sekitarnya.

Malah pemaju juga kini mula mengalihkan tumpuan kepada pembinaan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) iaitu di sepanjang laluan kereta api ini," katanya.

ADVERTISEMENT