Harga rumah dijangka turun?

2017-11-13

PUTRAJAYA 13 Nov. - Kerajaan tidak menolak kemungkinan harga rumah bakal turun ekoran berlakunya trend unit kediaman siap dibina tidak terjual atau overhang yang meningkat sebanyak 40 peratus.

Timbalan Mente­ri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, sebanyak 20,807 unit kediaman bersamaan nilai RM12.26 bilion tidak terjual manakala kon­dominium berharga melebihi RM500,000 mendominasi overhang.

“Namun, itu terpulang kepada pihak pemaju sendiri yang perlu mengambil kira permintaan dan penawaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pe­ngarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom.

Chee Leong berkata, pasaran hartanah tahun ini menunjukkan perkembangan yang baik walaupun berhadapan ketidaktentuan politik global dan persekitaran ekonomi mencabar.

Katanya, prestasi pasaran hartanah semasa mencatatkan penurunan pada kadar lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk separuh tahun pertama 2017, jumlah bilangan transaksi direkodkan melebihi 150,000 iaitu penurunan enam peratus berbanding 12.3 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah nilai transaksi pula direkodkan RM67 bilion iaitu meningkat 5 peratus berban­ding penurunan 12 peratus dalam tempoh sama,” katanya.

Ads