Broker hartanah haram bakal berdepan tindakan tegas - Zuraida | Malaysian Institute of Estate Agents

Broker hartanah haram bakal berdepan tindakan tegas - Zuraida

2018-10-21

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana broker hartanah yang menjalankan kegiatan haram di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ia berikutan semakin ramai broker hartanah yang tidak berdaftar, terutamanya dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Jelasnya, situasi itu menyebabkan berlakunya pelbagai jenis penipuan terhadap pembeli dan penjual dalam sektor perumahan.

"Saya agak kesal kerana sehingga kini tidak ada satu tangkapan pernah dibuat dan ini menjadi satu isu penguatkuasaan dalam sektor perumahan.

"Maka kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak akan segera menguatkuasakan undang-undang di bawah peruntukan Akta di bawah Subseksyen 30A untuk mengambil tindakan tegas terhadap broker-broker haram ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan MIEA dan Penyampaian Anugerah Hartanah Kebangsaan 2018 anjuran MIEA di sini, hari ini.

Teks beliau dibacakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Turut hadir, Presiden MIEA, Eric Lim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lim Boon Ping.

Menurutnya Zuraida, penyampaian sebanyak 17 kategori anugerah pada majlis berkenaan merupakan pencapaian penting kepada setiap ejen hartanah dan jururunding hartanah.

Terdahulu, jelasnya, 60 peratus atau sebanyak RM90 bilion daripada RM139 bilion nilai transaksi di negara ini pada tahun lalu adalah daripada ejen-ejen hartanah.

"Ini jelas menunjukkan industri hartanah ini mampu memberikan sumbangan yang besar bagi menjana pendapatan negara.

"Kini kita mempunyai seramai 20,000 jururunding hartanah, 1,375 buah firma hartanah dengan seramai 1,964 ejen hartanah yang berdaftar," katanya.

Eric sebelum ini dilaporkan berkata pasaran hartanah Malaysia diunjur bertambah baik dan beransur pulih menjelang 2020 didorong pertumbuhan keyakinan di bawah kerajaan baharu.

Jelasnya, pelaksanaan dasar-dasar baharu oleh kerajaan akan meningkatkan lagi sentimen pembelian dalam pasaran hartanah.

ADVERTISEMENT